Monday, March 20, 2006

Aduhai puteri solehah

Assalamualaikum.

Puisi ini sebenarnya adalah hasil dari tugasan kursus penglahiran bakat dan karya kreatif. Tapi sebelum ini segan pula rasanya nak paparkan puisi ni untuk tatapan umum sebab saya bukannya ada anak, tidak layak rasanya untuk saya meluahkan karya yang sebegini. Tapi tak apalah, sekarang ni pun saya sudah ada anak saudara. Kuntuman bait-bait puisi ini juga adalah harapan saya untuk beliau, Nurfatrisya Binti Rustam agar menjadi anak yang solehah, mudah-mudahan.

************************************************************************************

Aduhai puteriku,
Di luar sana rakanmu cantik dengan hiasan yang indah,
Tetapi tidak bagimu,
Ini tidak bermakna dirimu tidak cantik,
Malahan keayuanmu di hijab dari pandangan liar.

Aduhai puteriku,
Di luar sana rakanmu riang berhibur dan berlagu,
Tetapi tidak bagimu,
Ini tidak bermakna hatimu tidak terhibur,
Malahan hatimu terhibur oleh alunan wahyu yang Esa.

Aduhai puteriku,
Di luar sana rakanmu asyik berpasangan dibuai cinta,
Tetapi tidak bagimu,
Ini tidak bermakna dirimu tiada cinta,
Malahan cintamu adalah cinta hakiki kepada Allah dan rasulNya.

Malumu umpama perisai yang ampuh dari serangan noda,
Taatmu umpama tali-temali pengikat persaudaraan,
Jagalah dirimu wahai puteri solehah,
Semoga dikau beroleh kemenangan.



@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@


Juga lahir dari tugasan kursus penglahiran bakat dan karya kreatif, ianya adalah bentuk syair. Cuma itu lah, mesej dia agak tegas sedikit, bayangkan syair yang kita alunkan begitu mendayu-dayu tetapi terkandung di dalamnya mesej yang tegas yang menyentuh soal akidah.


BATAS IMAN DAN KUFUR.

Iman itu sangat berharga,
Jadi perisai kepada noda,
Boleh bertambah berkurang juga,
Menjadi syarat untuk ke syurga.

Hindarkan perkara yang membatalkannya,
Amalkan perkara yang meningkatkannya,
Banyakkan amal setiap masa,
Itulah amalan insan bertaqwa.

Kufur pula sangat merbahaya,
Boleh membawa kita ke neraka,
Mendapatkannya senang sahaja,
Jauhi perintah dekati laranganNya.

Ayuhlah bersama wahai saudara,
Tingkatkan iman di dalam dada,
Jauhi kekufuran di dalam jiwa,
Agar hidup aman bahagia.