Friday, January 28, 2022

Aku seekor motorsikal

Assalamualaikum. Cerpen ni lahir di zaman saya kegersangan ide untuk menulis. maka lahirlah karya yang mengarut ni, baca saja la kalau nak tau d: ********************************************************************************** Aku adalah seekor motorsikal. Eh! seekor? Apa ingat aku ni binatang ke apa? mana aku ada ekor. ekzoz ada lah. Oh, baru aku tahu, walaupun aku ni boleh bercakap, boleh menangis, boleh bercerita kisah hidup aku tetapi aku tetap tidak sama dengan manusia yang diiktiraf sebagai khalifah di muka bumi ini, yang lebih istimewa darjatnya dari binatang dan malaikat kerana dikurniakan akal dan juga nafsu. Dalam quran pun ada sebut bahawa "kamu adalah sebaik-baik umat yang disuruh untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran." Sampai begitu sekali manusia khususnya umat islam diiktiraf oleh Allah. 

Tapi aku hairan manusia sekarang ni bukan sahaja tidak menunaikan tuntutan amal maaruf nahi mungkar, malahan memberi lesen lagi kepada kegiatan-kegiatan mungkar ini, kononnya atas nama hendak menguji keimanan umat islam di negara ini. Tidak pernah pula aku dengar nabi SAW buat macam itu di zaman pemerintahan baginda. 

 Ops! aku ni dah melalut nampaknya. Kembali kepada kisah hidup aku sebagai seekor motorsikal. Aku 'dilahirkan' pada tahun 2004, tahun yang menjadi titik hitam kepada sejarah demokrasi negara apabila parti pemerintah menang besar dengan cara penipuan dalam pilihanraya umum ke-11. Jadi kira malang jugalah aku ni sebab lahir dalam suasana iklim demokrasi yang gelita. Aku lahir di sebuah kilang motorsikal di Shah Alam, Selangor. Lahir dalam bangsa Modenas Jaguh, namun aku tidaklah berminat untuk memperjuangkan bangsa dan suku seperti amalan segolongan manusia yang fanatik kepada perjuangan bangsa dan suku melebihi kepada perjuangan ummah. Allah jadikan mereka berbangsa-bangsa, bersuku-suku supaya mereka saling kenal-mengenal, bukan untuk diperjuangkan. 

 Sejurus sahaja selepas aku 'dilahirkan' aku terus ditempatkan di sebuah setor yang terletak berhampiran dengan kilang sementara menanti untuk diangkut kepada pengedar. Kelihatan di luar setor pemilik kilang dengan megahnya memerhatikan motorsikal-motorsikal yang sudah 'dilahirkan.' Dia ni sebenarnya adalah kroni kepada pemerintah negara ini. Orangnya bukanlah cekap dalam pengurusan, tetapi oleh kerana rapat dengan pemerintah maka dia dianugerahkan syarikat besar. Akibatnya perjalanan kilang tempat aku 'dilahirkan' ini kucar-kacir, banyak berlaku pembaziran, pekerja-pekerja di sini banyak yang lambat menerima gaji, apabila kewangan syarikat nazak, dengan mudah sahaja syarikat ini diselamatkan oleh wang KWSP dan Petronas. Duit rakyat juga yang jadi mangsa! 

 Sedang asyik menghamburkan kemarahan dalam hati, lori yang akan mengangkutku kepada pengedar pun sampai. Eloklah tu. Aku pun tak sanggup lagi tengok wajah-wajah kronisme, korupsi dan nepotisme dalam kilang ni. Dan aku juga tak sampai hati nak melihat wajah-wajah sayu pekerja-pekerja kilang yang tertindas di sini. Biarlah aku beredar untuk mencari dunia yang baru, yang lebih bersih dan memberikan ketenteraman jiwa kepadaku. Lori yang mengangkutku itu mula bergerak meninggalkan kilang tempat 'kelahiranku.' Tak ingin lagi aku nak menoleh kebelakang untuk melihat buat kali terakhir tempat 'kelahiranku' yang akan kutinggalkan buat selama-lamanya. 

 Sepanjang perjalanan dapatku saksikan betapa kompleksnya hidup dikota besar ini, manusia berlumba-lumba untuk mengejar matlamat hidup tanpa menghiraukan satu sama lain, sikap mementingkan diri-sendiri atau selfish kata 'orang putih' begitu ketara di kotaraya yang pada tanggapan umum menjadi syurga untuk mencari rezeki. Tapi apa boleh buat, kos hidup di kota besar itu sendiri yang menuntut kebanyakan manusia bersikap sedemikian, dengan segala-galanya perlu didahului dengan wang. Dahlah cukai jalan kena bayar sebelum ada di atas jalanraya, bila dah masuk ke lebuhraya kena pula bayar tol. Kononnya atas dasar pembangunan, untuk menaiktaraf jalanraya menjadi lebuhraya. ye lah, kalau nak naikkan taraf tu, naikkan sahajalah, yang dinaikkan sekali duit tu buat apa! Ini semua alasan untuk mengkayakan kroni dan anak-pinak pemerintah. 

Setelah beberapa lama bertarung dengan kesesakan jalanraya dan golongan yang mementingkan diri-sendiri, akhirnya lori yang membawaku tiba ke sebuah kedai mengedar dan menjual motorsikal di Kuala Lumpur. Di sinilah aku akan ditempatkan sementara sehingga ada orang yang berminat untuk memilikiku. Di sini aku dipamerkan bersama-sama motorsikal yang lain yang terdiri daripada pelbagai jenis 'bangsa.' Setelah dua hari memperagakan diriku di kedai ini, akhirnya seorang pemuda tertarik untuk memiliki diriku. Pada hari yang bersejarah itu, betuah rasanya diriku kerana akan memberikan khidmatku kepada manusia. Pemuda tersebut membeliku dengan bayaran tunai. Ini bermakna tidak perlulah bakal tuan aku ini bergelumang dengan riba yang ternyata menindas itu. Bahana riba ini bukan sahaja menimpa para pemimjam wang melalui ceti dan para pembeli melalui ansuran, malahan ianya telah menjalar kepada pinjaman bagi tujuan pembiayaan pengajian. Setelah beberapa urusan selesai, aku telah didaftarkan dengan nombor 'kad pengenalan' WM 7602. 

Tuan aku dengan cerianya membawa aku pulang, begitu cermat sekali tuan aku ni menunggang. Selesa sungguh aku bawah kendalian tuan aku ini, tidak tergopoh-gapah dan tidak terkejar-kejar umpama mengejar maut. Apabila sampai di rumah tuan aku, tuan aku terus mengelap badanku dengan kain agar tubuh badanku ini kelihatan sentiasa berkilat. Sayang betul tuan aku dengan motor baru dia ni. Bila tiba malamnya pula aku disimpan dalam pagar rumah, badanku diselimut dengan kanvas dan dikunci mangga agar tidak 'diculik' oleh orang lain. 

 Pada pagi itu tuan aku kelihatan begitu bersemangat dan ceria sekali untuk ke tempat kerja. Maklumlah, ke tempat kerja dengan kenderaan sendiri. Perjalanan ke tempat kerja tuan aku hanya mengambil masa lima belas minit sahaja. Inilah keistimewaan aku sebagai motorsikal yang mana dalam kesesakan lalulintas aku tidak mengalami kesulitan untuk bergerak seperti yang dialami oleh kereta. Inilah dia penyakit kronik di kotaraya, bina lebuhraya banyak mana pun kesesakan lalulintas tetap ada, malahan makin meruncing. Mana tidaknya, bina lebuhraya siap dengan pondok tol, ada sampai tiga buah pondok tol pula tu sepanjang lebuhraya. Bagi kebanyakan pemandu yang mahu ke tempat kerja, daripada meraka mengkayakan kroni-kroni pemerintah, lebih baik mereka bersesak-sesak di jalan biasa. Bila tiba sahaja di tempat kerja tuan aku, aku menjadi perhatian rakan sekerjanya yang lain. "Wah, tengok tu Zul. Kawan kita sambar motor baru lah." "Alah, ini untuk keperluan aku je, senangkan kalau nak pergi kerja atau ke mana- mana." "Oklah ni. Aku diletakkan di tempat letak motosikal yang berbumbung. Jadi selamatlah aku jadi dihujani oleh cuaca panas. 

Di sebelah aku seekor motorsikal dari bangsa Modenas Kriss yang bernombor 'kad pengenalan' PAS 1951 menyapa aku dengan penuh ramah. ". Hang baru mai sini ka? tak peghenah nampak pun sebelum ni." "Walaikum salam. Saya baru je tuan saya beli semalam. Tuan kamu kerja di bangunan ni juga ke?" "Ahah, tuan saya tu kerja peon kat tingkat 14. wah, tuan hang jaga betoi no. Berkilat sunggoh badan hang ni. Tuan aku tu loq laq sunggoh aih. Tau pakai ja, jaga taktau, malaih betoi dia nak 'mandikan' aku. Habih berlumpoq satu badan aku ni." "Alah, saya ni sebab baru beli. memanglah bersemangat tuan saya tu nak jaga. Dah lama-lama nanti tak tahulah macam mana." Sedang kami rancak berbual, tiba seekor lagi motorsikal yang bernombor 'kad pengenalan' DAP 911 masuk ke tempat letak motorsikal. ". Weh, ramai belako sini deh. napoknyo kito ada saing baru." "Ahah, kawan kita ni tuan dia baru beli." "Kawan kita yang kecek klate ni tuan dia peon gak, selalu hantaq surat kat sini." "Oh ye ke. Eh, cuba tengok kawan kita BN 2020 di hujung tu. Kenapa tak join kita di sini?" "Dia tu croy sikit. Mentang-mentanglah nomboq plet selangoq. Berlagak! takmau campoq kita no." Kata sahabatku, PAS 1951 dengan nada berbisik. "Huk aloh, nok kato hebak, bangso Honda Lampu Bulak sajo. Hebak lagi mu. Kalau race mau make asak gitu." DAP 911 memujiku. "Hah, tu pun tuan aku dah mai nak hantaq surat. Aku pi dulu no." 

 Begitulah rutin harianku yang setia menunggu tuan aku hingga habis waktu bekerja. Rakan-rakanku yang lain tidak selalu ada di tempat letak motorsikal kerana kerja tuan mereka sering keluar untuk menghantar surat. Jika sekali-sekali mereka ada dapat jugalah aku berbual dengan mereka untuk menghilangkan kebosanan. Pelbagai topik yang kami bualkan. Dari perbualan kosong hinggalah yang menyentuh tentang isu-isu semasa terutama bab politik. Dan tentulah isu-isu hangat yang kami sentuh termasuklah isu penipuan dalam pilihanraya umum yang baru berlalu, isu Islam Hadhari dan tidak ketinggalan kehangatan perebutan jawatan presiden parti. Ada satu hari tu, perbincangan kami tentang politik telah menarik perhatian BN 2020 sehingga terjadi perbahasan antara kami dengan BN 2020. Tetapi rupa-rupanya itulah titik mula BN 2020 rapat dengan kami dan tidak menyendiri lagi. Walaupun antara kami bertiga dan BN 2020 berbeza fahaman politik dan seringkali berdebat namun kami tetap boleh terus bertegur sapa. 

 Satu hari semasa balik dari tempat kerja tuan aku singgah sekejap ke kedai. Namun begitu tuan aku hanya meninggalkan kunci terlekat di badanku. Tiba-tiba seorang pemuda dengan pantas terus melarikan aku. "Alamak! Tuan! Tolong! Tolong! Motorsikalmu dilarikan!" Namun begitu ianya sia-sia kerana tuan aku masih di dalam kedai dan tidak sedar yang motorsikal kesayangannya dicuri. Orang disekeliling pun bukannya tahu pemilik aku. Siapa yang menunggang aku, pada tanggapan mereka dialah pemilikku. Inilah dia sikap masyarakat yang tidak peka kepada apa yang berlaku di alam sekeliling, malahan ianya menular di peringkat Universiti. Kebanyakan mahasiswa hanya tahu pergi dan balik kuliah tanpa mengambil tahu hal-hal masyarakat. Dan inilah sebenarnya yang dikehendaki oleh pemerintah yang korup kerana jika masyarakat dan mahasiswa peka terhadap isu semasa maka tergugatlah survival politik mereka. 

 Aku ditunggang dengan begitu laju. Pencuri ni membawa aku jauh dari tempat kejadian hinggalah tiba di sebuah petempatan setinggan. Dapat aku saksikan suasana yang amat amat daif di sini. Namun di sebelah sana pula tersergam indah kondo-kondo mewah yang lengkap dengan pelbagai kemudahan. Maka tidak hairanlah suasana kedaifan di setinggan ini mewabakkan pelbagai penyakit sosial termasuklah yang terjadi terhadap diriku sekarang ini. Aku terus dibawa ke pinggir perkampungan setinggan ini dan tiba di sebuah bangsal, aku terus diletakkan di dalam bangsal tersebut. Rupa-rupanya ramai lagi motorsikal yang senasib denganku. Mereka terdiri dari pelbagai 'bangsa.' Malahan banyak yang aku lihat sudah tidak cukup sifat. Inilah padahnya jika tidak melaksanakan hukum islam khususnya hudud. Manusia khususnya umat islam tidak takut untuk berbuat jenayah terutamanya mencuri kerana mereka tahu jika mereka tertangkap pun mereka hanya akan dipenjarakan. Dalam penjara mereka boleh makan free dan bila keluar penjara segala hasil rompakan dahulu sudah tersedia untuk mereka nikmati. Cuba kalau sekali mereka kantoi, mereka ini dijatuhkan hukuman potong tangan. Silap-silap mencuri sebatang pen pun mereka takut. Itulah berkatnya jika melaksanakan hukum Allah. Tetapi apa buat. Dulu negara islam kini islam hadhari, tetapi undang-undang penjajah juga diguna lagi!

 Di sini anggota badan aku diceraikan dari badanku dan digantikan dengan yang lain. Enjin pada badanku diubahsuai, pelbagai komponen dalam enjin badanku ditukar ganti. Malahan warna kulit badanku dari warna hijau ditukar menjadi warna biru. Biru tua pula tu, kalau warna biru air laut oklah sikit. Akhir sekali nombor 'kad pengenalanku' ditukar kepada NAR 316. Dalam masa satu malam sahaja aku dapati diriku telah berubah dari keadaan asal. Nampaknya susahlah tuan aku untuk mengenalpasti motorsikalnya yang hilang ini. Pada tengah malam esoknya iaitu malam minggu aku dibawa ke sebuah jalanraya di pinggir ibukota. Di sini aku dihimpunkan bersama berpuluh-puluh buah motorsikal seolah-seolah penganjuran lumba motorsikal akan berlangsung tengah malam itu. Namun aku lihat motorsikal-motorsikal yang akan dibawa berlumba ini ada pelbagai jenis, dari 150cc hinggalah ke sekecil-kecil 70cc pun ada, tetapi semuanya telah diubahsuai kemampuan enjinnya. Sah! mereka akan menggunakan aku untuk perlumbaan haram. Oh tidak! aku mula rasa tidak sedap hati, pelbagai kemungkinan buruk sudah terlintas di fikiranku. Dibuatnya aku terlibat dengan kemalangan, alamat hancurlah badanku dan bangkaiku dengan mudah akan dicampak terus ke lombong ataupun sungai. Tepat pukul dua pagi perlumbaan pun bermula. sebermula itu aku ditunggang dengan begitu laju hingga jarum meter pada kepalaku mencapai ke angka 180 kilometer sejam, saat itu rasa takut benar-benar menyelubungi diriku. terasa hendak gugur enjinku dibuatnya. Lebih menakutkan lagi apabila aku dibawa melalui selekoh yang agak tajam dengan kelajuan 120 kilometer sejam. Sedar tak sedar hanya aku sahaja yang terus memecut dihadapan, motorsikal yang lain sudah jauh kutinggalkan di belakang. Bak kata kaki racing, tujuh tiang mereka aku tinggalkan. Dalam beberapa minit sahaja aku sudah menghampiri garisan penamat yang juga tempat garisan permulaan tadi. Setiba sahaja di garisan penamat aku dan penunggangku disambut dengan sorakan dan tepukan yang gemuruh dari orang ramai yang menyaksikan perlumbaan haram ini. Mereka menyanjungi kecekapan pelumba yang menunggangku dan memuji-muji kemampuan enjinku hingga boleh mengatasi motorsikal yang lebih tinggi kemampuan enjinnya dariku. Saat itu tidak dapat kubayangkan betapa bangganya aku apabila diriku dipuji dan disanjung, malahan ada yang ingin membeliku dan menawarkan harga yang paling tinggi. Terus hilang rasa gerun yang menyelubungi diriku semasa bertarung di jalanan tadi. Sejak dari malam itu aku sudah mula melupai tuan aku yang dahulu. Aku lebih seronok bersama tuan aku yang baru ini. Walaupun aku dimiliki secara tidak sah, tetapi aku tidak peduli semua itu. Setiap malam mingguku dihampari dengan kemenangan yang cemerlang, gemilang dan terbilang beserta sorakan dan pujian dari 'penonton tidak bertiket'. Lebih seronok dan membanggakan lagi apabila setiap hari aku dibonceng oleh gadis-gadis yang cantik, bersiar-siar di sekitar kotaraya. Aku semakin lupa diri dan asal usulku, apalagi tuan aku yang dahulu yang memilikiku dengan hasil titik peluhnya yang halal. Hingga ke tahap terlintas di fikiranku, alangkah baiknya jika dari dahulu lagi aku bersama dengan tuan aku yang sekarang ini. Hari-hariku dipenuhi dengan keseronokan, berbanding dengan tuan aku yang dahulu, hari-hariku hanya dipenuhi dengan dibawa pergi dan balik dari tempat kerja, pada malamnya pula aku hanya dibawa untuk ke surau. Sungguh membosankan! Hinggalah ke suatu pagi, yang pada kebiasaannya perlumbaan haram bermula seawal jam dua pagi. Sedang tuan aku memecutku tiba-tiba di hadapan jalan yang menjadi gelanggang pertarungan lumba haram terdapat sekatan jalanraya oleh anggota polis yang sedang menjalankan operasi membenteras lumba haram. Dengan pantas dan cekap sekali tuan aku membuat pusingan U untuk melarikan diri. Namun begitu rupa-rupanya sepasukan anggota polis lagi sudah bersedia di sebelah belakang. Tuan aku cuba untuk membolosi kepungan, namun amat malang sekali apabila tuan aku hilang kawalan dan terbabas terus ke pembahagi jalan. Aku terus tidak sedarkan diri. Sedar-sedar sahaja aku sudah berada di perkarangan balai polis bersama-sama puluhan motorsikal yang sama-sama bertarung denganku pada pagi semalam. Rasa takut terus menyelubungi diriku. Di kala itulah aku teringat kepada tuan aku yang dahulu. Uwaa! Tuan! Tolong aku! Keluarkan aku dari sini! Aku tak mahu duduk di balai polis! Uwaa!!!

2 Comments:

Blogger Al haqeerah said...

Sebuah kisah yang digarap dengan kreatif.. tak pernah baca kisah macam ni. kisah motor yang dapt melihat peristiwa di sekelilingnya dengan ' mata akal'..

10:15 PM  
Blogger citanuryati said...

kelakar tapi ada mesej yg bagus..teruskan..

4:34 PM  

Post a Comment

<< Home