Thursday, August 04, 2005

Al kisah al kucing lorong

Assalamualaikum.

Lahirnya karya ni sebab saya adalah peminat kucing (((:

**********************************************************************************


Di suatu lorong yang suram di belakang kawasan perumahan. Waktu malam tanpa bertemankan bulan suasana lorong itu amat teramatlah gelap dan kelam. Kelihatan seekor kucing membuat ‘catwalk’ memecah kegelapan malam lorong itu berjalan tanpa arah tujuan. Tiba-tiba perjalanan kucing itu terhalang dengan kemunculan sekumpulan kucing liar yang tiba menyekat perjalanan kucing itu.
“Ha ha ha ha.” Sekumpulan kucing liar itu hanya ketawa sambil diperhatikan oleh kucing yang seekor itu.
“Siapa kamu semua ni? Kenapa kamu semua menghalang pejalanan aku?” Tiba-tiba sekumpulan kucing yang ketawa ini senyap. Salah seekor daripada mereka bersuara. “Nama aku Jinggo, ketua kumpulan Swastika Hitam. Lorong ini adalah kawasan kami. Kami Swastika Hitam berkuasa di sini!”
“Habis tu apa kena-mengena dengan aku? Apa tujuan kamu semua menghalang perjalanan aku?”
“Ha ha ha. Kamu telah menceroboh kawasan kami.”
“Jadi apa yang kamu mahu sekarang?”
Pertanyaan kucing itu hanya disambut oleh gelak ketawa oleh Jinggo dan konco-konconya. Tak semena-mena jinggo melompat menghampiri kucing tersebut. Maka mata bertentang mata. Bulu masing-masing mengembang, tegak berdiri menunjukkan kegarangan. “Dengar sini kawan-kawan semua. Jangan ada antara kamu yang masuk campur dalam pertarungan aku dengan kucing asing ini!” Seruan Jinggo kepada konco-konconya disambut dengan laungan kata-kata semangat dari kumpulan Swastika Hitam. Sebermula detik itu maka lorong belakang kawasan perumahan yang tadinya sunyi sepi kini seolah-olah dilanda ribut pertarungan yang amat hebat. Alunan irama pertarungan penaka deruan badai ganas menghempas. Masing-masing bercakaran menunjukkan kehebatan masing-masing. Sayup kedengaran bunyi sorakkan dari konco-konco Jinggo. Namun begitu kelihatan Jinggo yang pada mulanya menunjukkan kegagahan di depan konco-konconya semakin lemah diasak oleh hunusan kuku dan taring gigi lawannya. Asakan demi asakan dilepaskan oleh kucing asing itu yang kelihatan semakin gagah dan ganas itu. Dan tiba serangan penyudah kucing tersebut melepaskan cakaran sulongnya hingga menyebabkan Jinggo terpelanting terus ke longkang berhampiran. Ini menyebabkan konco-konco Jinggo yang dari tadi bersorak riang kini terdiam akibat tergamam dengan tertewasnya ketua mereka. Tidak setakat itu kucing itu terus mendapatkan Jinggo dan mengacukan kukunya ke muka Jinggo. “Tolong jangan apa-apakan aku lagi. Engkau memang hebat. Aku mengalah. Aku akui kehebatan engkau.” Jinggo yang mulanya berlagak seperti wira kini menikus dan merayu-rayu kepada kucing asing itu. Melihatkan ketewasan Jinggo dan kemenangan kucing asing itu, konco-konconya yang selama ini setia kepada Jinggo terus mendapatkan kucing asing itu. “wah, kamu memang hebat! Siapa kamu sebenarnya? dari mana kamu datang?”
“Nama aku Farouk. Aku sentiasa merantau dari satu tempat ke satu tempat.”
“Kalau macam tu Farouk. kami minta kamu jadi ketua kami, jadi pemimpin kami, kumpulan Swastika Hitam. Dengan kegagahan kamu, memang layak kamu menjadi ketua kami.”
“Betul tu Farouk. ketua kumpulan Swastika Hitam mestilah seekor kucing yang tangkas dalam pertarungan.” Jinggo turut serta memujuk Farouk untuk menyertai dan mengepalai Swastika Hitam.
“Baiklah. Kalau itulah permintaan kamu, aku sedia menjadi ketua kamu dan memimpin kumpulan Swastika Hitam ini.”
“Hidup Farouk!” Jinggo melaungkan kata semangat sebagai tanda sokongan yang diikuti oleh semua ahli kumpulan Swastika Hitam.
“Dengar sini kawan-kawan semua. Pertama sekali aku mengucapkan terima kasih kerana sudi melantik aku sebagai ketua kamu. Di sini aku berjanji akan memastikan kumpulan Swastika Hitam ini menjadi kumpulan yang paling berkuasa bukan sahaja di lorong ini, malahan di lorong-lorong yang lain di kawasan perumahan ini.” ucapan Farouk ini disambut dengan sorakan semangat oleh konco-konconya.
“Satu lagi yang ingin aku tekankan di sini, sekarang ini bukan lagi masanya untuk kita bergantung harap kepada manusia. Manusia sebenarnya hanya menyusahkan kita. Mereka bukan mahu membela kita. Tetapi mereka mahu mengongkong kebebasan kita”
“Ya, betul tu Farouk! kami sokong.”
“sepatutnya dari dulu lagi kamu menyertai kami Farouk.”
“Kita mesti bebaskan diri kita dari cengkaman manusia. Malahan kita mesti berusaha untuk membebaskan kucing-kucing peliharaan yang lain dari cengkaman manusia. Kita akan tarik mereka sertai kumpulan kita supaya kumpulan kita menjadi lebih kuat.”
“Hidup Farouk! hidup Swastika Hitam! Bebaskan diri dari cengkaman manusia!” sekali lagi lorong suram itu bergema dengan laungan kata-kata semangat daripada kumpulan Swastika Hitam. Ucapan Farouk yang penuh berapi-api telah menaikkan semangat baru dalam kumpulan Swastika Hitam.
Dalam keriuhan lorong itu oleh laungan semangat dari ahli Swastika Hitam, tiba-tiba muncul seorang wanita memanggil-manggil kucingnya yang hilang.
“Meow. Meow. Comel. Comel.” Wanita tersebut ternampak akan Farouk dan terus mendukung kucing itu. dipeluknya dan dikucupnya dengan penuh kasih sayang. Kejadian itu hanya disaksikan oleh ahli-ahli Swastika Hitam yang lain tanpa sebarang reaksi. Terpancar riak-riak kehairanan di wajah masing-masing.
“Mana comel pergi? Puas mama cari comel tau. Tengok ni habis kotor badan comel. Balik nanti kita mandi ye. Mama ada beli whiskis untuk comel.” Wanita itu bersama Farouk yang didukungnya semakin jauh dan hilang di telan kegelapan malam.
“Ha ha ha ha ha ha!!!” lorong belakang yang sebentar tadi itu dilanda ribut kebisuan kini riuh kembali oleh gelak tawa penghuni-penghuni tetapnya.
“Ceh! Farouk konon. Kucing liar konon. Tak bergantung kepada manusia konon. Rupa-rupanya kucing belaan. Nama comel pulak tu. Makan whiskis. Punyalah manja.”
“Ha ha ha ha ha ha!!!” Kata-kata salah seekor kucing di lorong itu disambut gelak ketawa oleh rakan-rakannya.
“Huh!, nampaknya kita hampir-hampir tertipu oleh kucing manja tersebut. Sekarang ini nampaknya aku masih lagi ketua kamu semua.”
“Ceh Jinggo! Kamu sudah dikalahkan oleh kucing belaan yang manja tu masih lagi berangan-angan mahu menjadi ketua Swastika Hitam. Kamu tak layak menjadi ketua kami. Malahan kamu tak layak bersama-sama Swastika Hitam.”
“Cis! Berani kamu mempertikaikan kewibawaan aku! Mari kita bertarung.” Jinggo yang rasa tercabar dengan kata-kata salah seekor ahli Swastika Hitam terus mencabar kucing itu bertarung. Lorong belakang kawasan perumahan itu sekali lagi dilanda ribut pertarungan yang amat hebat. Keriuhan ribut pertarungan itu ternyata telah mengganggu ketenteraman malam penghuni di kawasan perumahan itu, tiba-tiba tin-tin kosong, botol-botol kosong dan air menghujani kawasan lorong suram itu yang membuatkan segala kucing-kemucing di lorong itu bertempiaran lari.

1 Comments:

Blogger smith said...

You don’t must go through the rigorous learning process 카지노사이트 before playing

2:08 AM  

Post a Comment

<< Home