Thursday, August 04, 2005

Al kisah al biduanita 1 dan 2

Assalamualaikum.

yang ni saya nak kata hikayat ke penglipulara, saya pun tak pasti, tuan-tuan baca la sendiri.

***********************************************************************************

al kisah al biduanita 1 - Ops tawan Klate.

Tersebutlah kisah akan seorang biduanita jelita dari negeri Opahang yang bernama Siti Nurazila. Diriwayatkan bahawa Siti Nurazila ini adalah seorang penghibur yang terbilang di gugusan kepulauan nusantara. Kemerduan dan gemersik suaranya telah menembusi negeri-negeri melayu bersekutu mahupun tidak bersekutu. Hari demi hari kegemilangan biduanita negeri opahang ini semakin menyinar. Seorang demi seorang penghibur di setiap negeri dapat ditewaskannya dengan mudah dalam pertandingan beradu suara. Yang tinggal hanyalah satu negeri di pinggiran nusantara yang belum dicabar kemerduan suara penghiburnya. Dikhabarkan bahawa hari demi hari bakat penghibur di negeri tersebut semakin menyerlah malahan semakin mendapat perhatian di dada-dada majalah dan jurnal hiburan di seluruh pelosok nusantara. Tatkala diketahui sahaja oleh Siti Nurazila maka terbukulah hasrat dan cita-citanya untuk mencabar bakat baru di negeri tersebut sekaligus menewaskannya. maka bermulalah persiapan Siti Nurazila untuk mencabar penghibur baru tersebut. Selama sepurnama segala pantang-larang, petua-petui diikuti dengan redha, segala latihan kemantapan vokal diikuti dengan tekun sekali. Setelah sepurnama berlalu maka tibalah masa yang dinanti-nanti oleh Siti Nurazila. Maka berangkat penghibur terbilang ini beserta pengurus dan guru vokalnya ke negeri yang menjadi tempat lahir dan tempat bermain bakat baru yang meningkat naik itu. Namun kecewa sedalam-sedalam kecewa apabila Siti Nurazila dimaklumkan oleh urusetia pertandingan yang berbunyi lebih kurang begini;

“Dengan dukacitanya adalah dimaklumkan bahawa penyertaan saudari dalam pertandingan beradu suara tidak dapat diluluskan di bawah Enakmen Hiburan Kerajaan Negeri Klate.”

Maka dengan ini Siti Nurazila yang selama ini berjaya mencipta metos bahawa dia tidak akan ditewaskan oleh sesiapapun hingga bila-bila, akhirnya kecundang juga di tangan penghibur nasyid, ustat Amran al-Klatani.





Al kisah al biduanita 2 - Nurazila's revenge.

Al kisah tatkala kalah di tangan artis nasyid, ustat Amran al klatani dari negeri Klate Siti Nurazila yang selalunya pulang membawa bersama-samanya kegemilangan dan wang tunai berserta trofi tetapi kali ini pulang dengan membawa jutaan kehampaan di hati. Sepurnama lamanya beliau tak tidur lena dan sepurnama lamanya biduanita ini membuat post mortem tentang kekalahannya di tangan artis nasyid tersebut. “Mengapa? Mengapa? Mengapakah aku boleh dikalahkan hanya dengan artis nasyid itu? Apa sangatkah kelebihan artis nasyid tu? Dahlah tua. Dressing dia pun outdated. Dengan baju melayunya. Dengan kopiahnya. Lainlah aku. Cantik, fasyen pun fasyen terkini. Oh tidak! Ini tak adil! Tak adil!” Isi hati Siti Nurazila memberontak. Apabila tiba sidang akhbar Siti Nurazila memberikan alasan bahawa kekalahannya di tangannya adalah kerana wujudnya enakmen yang zalim, drakonian yang menyekat hak kebebasan rakyat untuk berhibur dan berkarya iaitu enakmen kawalan hiburan negeri klate. Dengan tewasnya Siti Nurazila kali ini tidak sedikit pun menerbitkan rasa putus asanya untuk menewaskan artis dari negeri klate itu. Maka usaha dilakukannya dengan berkempen kepada rakyat negeri klate supaya menolak kepimpinan kerajaan yang sedia ada pada pilihanraya umum yang makin hampir agar kerajaan yang mengambil alih akan memansuhkan enakmen kawalan hiburan negeri klate yang telah diluluskan. Maka dengan itu dapatlah nanti Siti Nurazila menebus kekalahannya di tangan ustat amran al klatani. Untuk itu maka berangkatlah Siti Nurazila semula ke negeri klate. Kedatangannya ke negeri bawah pentadbiran kerajaan PISM itu kali ini bukanlah untuk mendendangkan lagu, tetapi sebaliknya untuk berkempen pilihanraya bagi pihak PKMB agar rakyat negeri klate memilih PKMB dan menolak PISM. Pelbagai hujah dan janji manis telah ditaburkan oleh Siti Nurazila kepada rakyat negeri klate dalam siri-siri ceramah kempen pilihanrayanya untuk mempengaruhi rakyat klate agar menolak kepimpinan PISM. “Tuan-tuan lihatlah hidup tuan-tuan sekarang, penuh dengan kebosanan. Tiada hiburan untuk mengisi halwa telinga tuan-tuan. Kalau ada pun hanyalah hiburan yang membosankan. Sampai bila tuan-tuan ingin hidup seperti ini? Cuba tuan-tuan bayangkanlah jika tuan-tuan hidup di bawah kerajaan pimpinan PKMB, harian hidup tuan-tuan dapat dipenuhi dengan hiburan daripada artis kesayangan tuan-tuan. Malahan tuan-tuan dapat bertemu secara langsung dengan artis kesayangan tuan-tuan. Tuan-tuan tidak lagi disekat dengan enakmen kawalan hiburan negeri klate yang zalim dan tidak bertamadun itu.” Begitulah kesungguhan Siti Nurazila dalam mempengaruhi rakyat negeri klate agar menukar pemerintahan di negeri tersebut. hari demi hari, setelah semua jajahan negeri klate habis dijelajah oleh Siti Nurazila, maka tibalah hari yang dinanti-nantikan iaitu hari pembuangan undi. Tatkala keputusan pilihanraya bagi negeri klate di umumkan, maka bukan kepalang gembiranya Siti Nurazila apabila PKMB telah berjaya memenangi semua kerusi dalam negeri klate. Di fakulti minda biduanita tersebut sudah terbayang kegemilangan yang akan diciptanya kembali negeri klate ini. Namun tidak pun lama selepas itu Siti Nurazila kembali menangis, kecewa dan hampa teramatlah amat apabila mengetahui bahawa PISM pula berjaya memenangi dua pertiga dari kerusi parlimen di seluruh negara yang sudah pastinya akan membunuh terus karier Siti Nurazila sebagai artis oleh akta kawalan hiburan persekutuan yang akan di laksanakan apabila PISM mendapat mandat untuk mentadbir negara. Oleh dengan itu maka bertekadlah Siti Nurazila untuk meninggalkan bidang nyanyian dan beliau ingin berubah untuk menjadi wanita dan isteri yang solehah yang hanya menyanyi untuk suami serta anak-anak.

3 Comments:

Blogger iman yalin @ insan yalin said...

kisah ni menarik

10:14 AM  
Blogger Ilriady Al-Kalantani said...

karya yg nebarik...saya minta izin untuk copy mane2 cerita yg menarik...

12:32 AM  
Blogger Ibnu_Ismail said...

assalamu'alaikum.

saya juga ingin minta kebenaran untuk repost dalam blog saya karya yg menarik.boleh ke?

3:18 AM  

Post a Comment

<< Home