Thursday, August 04, 2005

Al kisah al biduanita 1 dan 2

Assalamualaikum.

yang ni saya nak kata hikayat ke penglipulara, saya pun tak pasti, tuan-tuan baca la sendiri.

***********************************************************************************

al kisah al biduanita 1 - Ops tawan Klate.

Tersebutlah kisah akan seorang biduanita jelita dari negeri Opahang yang bernama Siti Nurazila. Diriwayatkan bahawa Siti Nurazila ini adalah seorang penghibur yang terbilang di gugusan kepulauan nusantara. Kemerduan dan gemersik suaranya telah menembusi negeri-negeri melayu bersekutu mahupun tidak bersekutu. Hari demi hari kegemilangan biduanita negeri opahang ini semakin menyinar. Seorang demi seorang penghibur di setiap negeri dapat ditewaskannya dengan mudah dalam pertandingan beradu suara. Yang tinggal hanyalah satu negeri di pinggiran nusantara yang belum dicabar kemerduan suara penghiburnya. Dikhabarkan bahawa hari demi hari bakat penghibur di negeri tersebut semakin menyerlah malahan semakin mendapat perhatian di dada-dada majalah dan jurnal hiburan di seluruh pelosok nusantara. Tatkala diketahui sahaja oleh Siti Nurazila maka terbukulah hasrat dan cita-citanya untuk mencabar bakat baru di negeri tersebut sekaligus menewaskannya. maka bermulalah persiapan Siti Nurazila untuk mencabar penghibur baru tersebut. Selama sepurnama segala pantang-larang, petua-petui diikuti dengan redha, segala latihan kemantapan vokal diikuti dengan tekun sekali. Setelah sepurnama berlalu maka tibalah masa yang dinanti-nanti oleh Siti Nurazila. Maka berangkat penghibur terbilang ini beserta pengurus dan guru vokalnya ke negeri yang menjadi tempat lahir dan tempat bermain bakat baru yang meningkat naik itu. Namun kecewa sedalam-sedalam kecewa apabila Siti Nurazila dimaklumkan oleh urusetia pertandingan yang berbunyi lebih kurang begini;

“Dengan dukacitanya adalah dimaklumkan bahawa penyertaan saudari dalam pertandingan beradu suara tidak dapat diluluskan di bawah Enakmen Hiburan Kerajaan Negeri Klate.”

Maka dengan ini Siti Nurazila yang selama ini berjaya mencipta metos bahawa dia tidak akan ditewaskan oleh sesiapapun hingga bila-bila, akhirnya kecundang juga di tangan penghibur nasyid, ustat Amran al-Klatani.





Al kisah al biduanita 2 - Nurazila's revenge.

Al kisah tatkala kalah di tangan artis nasyid, ustat Amran al klatani dari negeri Klate Siti Nurazila yang selalunya pulang membawa bersama-samanya kegemilangan dan wang tunai berserta trofi tetapi kali ini pulang dengan membawa jutaan kehampaan di hati. Sepurnama lamanya beliau tak tidur lena dan sepurnama lamanya biduanita ini membuat post mortem tentang kekalahannya di tangan artis nasyid tersebut. “Mengapa? Mengapa? Mengapakah aku boleh dikalahkan hanya dengan artis nasyid itu? Apa sangatkah kelebihan artis nasyid tu? Dahlah tua. Dressing dia pun outdated. Dengan baju melayunya. Dengan kopiahnya. Lainlah aku. Cantik, fasyen pun fasyen terkini. Oh tidak! Ini tak adil! Tak adil!” Isi hati Siti Nurazila memberontak. Apabila tiba sidang akhbar Siti Nurazila memberikan alasan bahawa kekalahannya di tangannya adalah kerana wujudnya enakmen yang zalim, drakonian yang menyekat hak kebebasan rakyat untuk berhibur dan berkarya iaitu enakmen kawalan hiburan negeri klate. Dengan tewasnya Siti Nurazila kali ini tidak sedikit pun menerbitkan rasa putus asanya untuk menewaskan artis dari negeri klate itu. Maka usaha dilakukannya dengan berkempen kepada rakyat negeri klate supaya menolak kepimpinan kerajaan yang sedia ada pada pilihanraya umum yang makin hampir agar kerajaan yang mengambil alih akan memansuhkan enakmen kawalan hiburan negeri klate yang telah diluluskan. Maka dengan itu dapatlah nanti Siti Nurazila menebus kekalahannya di tangan ustat amran al klatani. Untuk itu maka berangkatlah Siti Nurazila semula ke negeri klate. Kedatangannya ke negeri bawah pentadbiran kerajaan PISM itu kali ini bukanlah untuk mendendangkan lagu, tetapi sebaliknya untuk berkempen pilihanraya bagi pihak PKMB agar rakyat negeri klate memilih PKMB dan menolak PISM. Pelbagai hujah dan janji manis telah ditaburkan oleh Siti Nurazila kepada rakyat negeri klate dalam siri-siri ceramah kempen pilihanrayanya untuk mempengaruhi rakyat klate agar menolak kepimpinan PISM. “Tuan-tuan lihatlah hidup tuan-tuan sekarang, penuh dengan kebosanan. Tiada hiburan untuk mengisi halwa telinga tuan-tuan. Kalau ada pun hanyalah hiburan yang membosankan. Sampai bila tuan-tuan ingin hidup seperti ini? Cuba tuan-tuan bayangkanlah jika tuan-tuan hidup di bawah kerajaan pimpinan PKMB, harian hidup tuan-tuan dapat dipenuhi dengan hiburan daripada artis kesayangan tuan-tuan. Malahan tuan-tuan dapat bertemu secara langsung dengan artis kesayangan tuan-tuan. Tuan-tuan tidak lagi disekat dengan enakmen kawalan hiburan negeri klate yang zalim dan tidak bertamadun itu.” Begitulah kesungguhan Siti Nurazila dalam mempengaruhi rakyat negeri klate agar menukar pemerintahan di negeri tersebut. hari demi hari, setelah semua jajahan negeri klate habis dijelajah oleh Siti Nurazila, maka tibalah hari yang dinanti-nantikan iaitu hari pembuangan undi. Tatkala keputusan pilihanraya bagi negeri klate di umumkan, maka bukan kepalang gembiranya Siti Nurazila apabila PKMB telah berjaya memenangi semua kerusi dalam negeri klate. Di fakulti minda biduanita tersebut sudah terbayang kegemilangan yang akan diciptanya kembali negeri klate ini. Namun tidak pun lama selepas itu Siti Nurazila kembali menangis, kecewa dan hampa teramatlah amat apabila mengetahui bahawa PISM pula berjaya memenangi dua pertiga dari kerusi parlimen di seluruh negara yang sudah pastinya akan membunuh terus karier Siti Nurazila sebagai artis oleh akta kawalan hiburan persekutuan yang akan di laksanakan apabila PISM mendapat mandat untuk mentadbir negara. Oleh dengan itu maka bertekadlah Siti Nurazila untuk meninggalkan bidang nyanyian dan beliau ingin berubah untuk menjadi wanita dan isteri yang solehah yang hanya menyanyi untuk suami serta anak-anak.

Al kisah al kucing lorong

Assalamualaikum.

Lahirnya karya ni sebab saya adalah peminat kucing (((:

**********************************************************************************


Di suatu lorong yang suram di belakang kawasan perumahan. Waktu malam tanpa bertemankan bulan suasana lorong itu amat teramatlah gelap dan kelam. Kelihatan seekor kucing membuat ‘catwalk’ memecah kegelapan malam lorong itu berjalan tanpa arah tujuan. Tiba-tiba perjalanan kucing itu terhalang dengan kemunculan sekumpulan kucing liar yang tiba menyekat perjalanan kucing itu.
“Ha ha ha ha.” Sekumpulan kucing liar itu hanya ketawa sambil diperhatikan oleh kucing yang seekor itu.
“Siapa kamu semua ni? Kenapa kamu semua menghalang pejalanan aku?” Tiba-tiba sekumpulan kucing yang ketawa ini senyap. Salah seekor daripada mereka bersuara. “Nama aku Jinggo, ketua kumpulan Swastika Hitam. Lorong ini adalah kawasan kami. Kami Swastika Hitam berkuasa di sini!”
“Habis tu apa kena-mengena dengan aku? Apa tujuan kamu semua menghalang perjalanan aku?”
“Ha ha ha. Kamu telah menceroboh kawasan kami.”
“Jadi apa yang kamu mahu sekarang?”
Pertanyaan kucing itu hanya disambut oleh gelak ketawa oleh Jinggo dan konco-konconya. Tak semena-mena jinggo melompat menghampiri kucing tersebut. Maka mata bertentang mata. Bulu masing-masing mengembang, tegak berdiri menunjukkan kegarangan. “Dengar sini kawan-kawan semua. Jangan ada antara kamu yang masuk campur dalam pertarungan aku dengan kucing asing ini!” Seruan Jinggo kepada konco-konconya disambut dengan laungan kata-kata semangat dari kumpulan Swastika Hitam. Sebermula detik itu maka lorong belakang kawasan perumahan yang tadinya sunyi sepi kini seolah-olah dilanda ribut pertarungan yang amat hebat. Alunan irama pertarungan penaka deruan badai ganas menghempas. Masing-masing bercakaran menunjukkan kehebatan masing-masing. Sayup kedengaran bunyi sorakkan dari konco-konco Jinggo. Namun begitu kelihatan Jinggo yang pada mulanya menunjukkan kegagahan di depan konco-konconya semakin lemah diasak oleh hunusan kuku dan taring gigi lawannya. Asakan demi asakan dilepaskan oleh kucing asing itu yang kelihatan semakin gagah dan ganas itu. Dan tiba serangan penyudah kucing tersebut melepaskan cakaran sulongnya hingga menyebabkan Jinggo terpelanting terus ke longkang berhampiran. Ini menyebabkan konco-konco Jinggo yang dari tadi bersorak riang kini terdiam akibat tergamam dengan tertewasnya ketua mereka. Tidak setakat itu kucing itu terus mendapatkan Jinggo dan mengacukan kukunya ke muka Jinggo. “Tolong jangan apa-apakan aku lagi. Engkau memang hebat. Aku mengalah. Aku akui kehebatan engkau.” Jinggo yang mulanya berlagak seperti wira kini menikus dan merayu-rayu kepada kucing asing itu. Melihatkan ketewasan Jinggo dan kemenangan kucing asing itu, konco-konconya yang selama ini setia kepada Jinggo terus mendapatkan kucing asing itu. “wah, kamu memang hebat! Siapa kamu sebenarnya? dari mana kamu datang?”
“Nama aku Farouk. Aku sentiasa merantau dari satu tempat ke satu tempat.”
“Kalau macam tu Farouk. kami minta kamu jadi ketua kami, jadi pemimpin kami, kumpulan Swastika Hitam. Dengan kegagahan kamu, memang layak kamu menjadi ketua kami.”
“Betul tu Farouk. ketua kumpulan Swastika Hitam mestilah seekor kucing yang tangkas dalam pertarungan.” Jinggo turut serta memujuk Farouk untuk menyertai dan mengepalai Swastika Hitam.
“Baiklah. Kalau itulah permintaan kamu, aku sedia menjadi ketua kamu dan memimpin kumpulan Swastika Hitam ini.”
“Hidup Farouk!” Jinggo melaungkan kata semangat sebagai tanda sokongan yang diikuti oleh semua ahli kumpulan Swastika Hitam.
“Dengar sini kawan-kawan semua. Pertama sekali aku mengucapkan terima kasih kerana sudi melantik aku sebagai ketua kamu. Di sini aku berjanji akan memastikan kumpulan Swastika Hitam ini menjadi kumpulan yang paling berkuasa bukan sahaja di lorong ini, malahan di lorong-lorong yang lain di kawasan perumahan ini.” ucapan Farouk ini disambut dengan sorakan semangat oleh konco-konconya.
“Satu lagi yang ingin aku tekankan di sini, sekarang ini bukan lagi masanya untuk kita bergantung harap kepada manusia. Manusia sebenarnya hanya menyusahkan kita. Mereka bukan mahu membela kita. Tetapi mereka mahu mengongkong kebebasan kita”
“Ya, betul tu Farouk! kami sokong.”
“sepatutnya dari dulu lagi kamu menyertai kami Farouk.”
“Kita mesti bebaskan diri kita dari cengkaman manusia. Malahan kita mesti berusaha untuk membebaskan kucing-kucing peliharaan yang lain dari cengkaman manusia. Kita akan tarik mereka sertai kumpulan kita supaya kumpulan kita menjadi lebih kuat.”
“Hidup Farouk! hidup Swastika Hitam! Bebaskan diri dari cengkaman manusia!” sekali lagi lorong suram itu bergema dengan laungan kata-kata semangat daripada kumpulan Swastika Hitam. Ucapan Farouk yang penuh berapi-api telah menaikkan semangat baru dalam kumpulan Swastika Hitam.
Dalam keriuhan lorong itu oleh laungan semangat dari ahli Swastika Hitam, tiba-tiba muncul seorang wanita memanggil-manggil kucingnya yang hilang.
“Meow. Meow. Comel. Comel.” Wanita tersebut ternampak akan Farouk dan terus mendukung kucing itu. dipeluknya dan dikucupnya dengan penuh kasih sayang. Kejadian itu hanya disaksikan oleh ahli-ahli Swastika Hitam yang lain tanpa sebarang reaksi. Terpancar riak-riak kehairanan di wajah masing-masing.
“Mana comel pergi? Puas mama cari comel tau. Tengok ni habis kotor badan comel. Balik nanti kita mandi ye. Mama ada beli whiskis untuk comel.” Wanita itu bersama Farouk yang didukungnya semakin jauh dan hilang di telan kegelapan malam.
“Ha ha ha ha ha ha!!!” lorong belakang yang sebentar tadi itu dilanda ribut kebisuan kini riuh kembali oleh gelak tawa penghuni-penghuni tetapnya.
“Ceh! Farouk konon. Kucing liar konon. Tak bergantung kepada manusia konon. Rupa-rupanya kucing belaan. Nama comel pulak tu. Makan whiskis. Punyalah manja.”
“Ha ha ha ha ha ha!!!” Kata-kata salah seekor kucing di lorong itu disambut gelak ketawa oleh rakan-rakannya.
“Huh!, nampaknya kita hampir-hampir tertipu oleh kucing manja tersebut. Sekarang ini nampaknya aku masih lagi ketua kamu semua.”
“Ceh Jinggo! Kamu sudah dikalahkan oleh kucing belaan yang manja tu masih lagi berangan-angan mahu menjadi ketua Swastika Hitam. Kamu tak layak menjadi ketua kami. Malahan kamu tak layak bersama-sama Swastika Hitam.”
“Cis! Berani kamu mempertikaikan kewibawaan aku! Mari kita bertarung.” Jinggo yang rasa tercabar dengan kata-kata salah seekor ahli Swastika Hitam terus mencabar kucing itu bertarung. Lorong belakang kawasan perumahan itu sekali lagi dilanda ribut pertarungan yang amat hebat. Keriuhan ribut pertarungan itu ternyata telah mengganggu ketenteraman malam penghuni di kawasan perumahan itu, tiba-tiba tin-tin kosong, botol-botol kosong dan air menghujani kawasan lorong suram itu yang membuatkan segala kucing-kemucing di lorong itu bertempiaran lari.

Force 1424 (Edited Version)

assalamualaikum
Dikatakan force 1424 edited version sebab saya telah menyunting beberapa, malahan boleh dikatakan banyak perenggan la dalam cerpen ni yang saya sunting dan buang sebab ianya terlalu ‘ekstrim.’ Dan bila sudah menjalankan proses suntingan, perlu juga saya jelaskan kepada bakal2 pembaca bahawa cerpen ni bukan bertujuan untuk menghasut dan mempengaruhi pembaca untuk melakukan sesuatu luar dari batasan undang2 negara dan demokrasi. Kalau ada pun masej yang saya hendak sampaikan disini ianya ialah perjuangan dalam menegakkan keadilan dan kebenaran serta menumbangkan kezaliman

********************************************************************************



Pagi subuh itu dingin amat terasa menyelinap hingga ke tulang sum-sum. Nyanyian burung-burung dan unggas yang merdu menambahkan lagi liat beberapa anggota jemaah untuk bangkit dari tidur walaupun berkali-kali digerakkan oleh razlan bersama-sama anggota jemaah yang lain.

“Trat! Tat! Tatatatatat!!!” Razlan yang begitu hangat dengan keliatan beberapa pengikut-pengikutnya, melepaskan beberapa das tembakan M16 ke udara.

“Allahu akbar! Musuh datang dari arah jam dua belas! Bersedia semua dalam kubu masing-masing!”

“Banyaklah kamu punya musuh! Tu syaitan tu musuh yang patut kamu lawan dulu. Punya liat nak bangun subuh.”

Selepas solat subuh berjemaah diadakan sedikit kuliah subuh yang disampaikan oleh Razlan sendiri yang bertajuk ‘kepentingan menegakkan solat sebagai asas menegakkan islam.’ Selepas itu mereka bersama-sama menyiapkan sarapan. Sarapan pada pagi itu hanyalah cucur kodok bersama-sama teh o suam. Namun ianya sama-sama dinikmati oleh anggota jemaah dengan penuh rasa kesyukuran. Selepas sarapan mereka semua berkumpul untuk mendengar taklimat dan arahan dari Razlan.

“ warahmatullahi wabarakatuh dan selamat pagi semua.”

“waalaikumsalam warahmatullah.” Sambut semua anggota jemaah.

“Alhamdulillah. Di pagi sabtu yang damai ini kita amat-amat bersyukur kerana dapat berkumpul dalam suasana kekeluargaan dan kemesraan yang terjalin hanya dengan satu hari. Sebelum itu saya juga amat berbesar hati untuk megucapkan selamat datang ke Pusat Latihan Perperangan Khas atau PULPAK. bukan kem 21 komando Sungai Udang sana saja yang ada PULPAK. sini pun ada insya-Allah. Bermula pada pagi ini juga saya dengan rasa sukacita mengumumkan nama pergerakan atau jemaah bersenjata kita sebagai Force 1424 sempena tahun empat belas dua puluh empat hijrah. Tahun yang melahirkan pergerakan atau jemaah bersenjata kita. Undang-undang atau peraturan disini mudah saja. Di samping mematuhi arahan pemimpin, kamu tertakluk dengan peraturan al quran dan sunah. Sepanjang berada di sini kita bukan sahaja akan melalui latihan fizikal iaitu latihan pertempuran, kita juga akan melalui latihan kerohanian kerana bekalan untuk kita menghadapi musuh bukanlah bersandarkan kepada kekuatan fizikal semata-mata, tetapi bersandarkan kepada kekuatan iman yang kukuh. Baiklah, untuk tidak membuang masa, untuk latihan pertama kita akan berlari dari sini ke anak bukit sana dan berpatah balik ke sini. Ok, barisan yang pertama mula bergerak. Go! Go! Go!”

Anggota jemaah yang baru sahaja ditubuhkan secara rasmi ini dan dinamakan dengan Force 1424 ini mula berlari sebagai latihan sulong mereka. Belari di kawasan hutan dengan meredah hutan belukar dan anak sungai bukanlah sesuatu yang biasa bagi mereka ini. bagi yang sebelum ini selalu melakukan aktiviti sukan dan senaman, memang tiada masalah. Tetapi satu penyeksaan bagi mereka yang sebelum ini hidup mereka hanya disulami dengan kerja di pejabat yang dibelai manja oleh hembusan air cond, dan di rumah yang hanya makan dan tidur sahaja aktiviti mereka.

“Cepat! Cepat! Pantas! Pantas! Tu apa lagi tu? Cepat sikit!”

“Nampaknya, saya perhatikan banyak di antara kamu yang kurang staminanya. Belum pun sampai ke kaki anak bukit sana dah termengah-mengah. Ini baru berlari dengan tangan kosong. Untuk makluman kamu semua esok kita akan berlari pula dengan membawa senjata. Dan kamu kena ingat, berat senjata ni bukan macam berat sebatang cangkul jadi kekuatan fizikal ni amat perlulah untuk kamu semua kerana dalam pertempuran memerlukan kamu cergas untuk berlari sama ada untuk mara ke hadapan atau pun untuk berundur dan kamu berlari bukannya seperti di trek-trek jogging yang bertar atau bersimen tetapi di hutan belantara yang beralun-alun dan berlopak-lopak. Faham semua?”

“Faham encik!”

Begitulah rutin latihan mereka dari hari ke hari. Bermula dengan berlari dengan kosong, kemudian membawa bersama senjata yang agak ringan seperti Styer AUG hinggalah ke senjata yang amat berat seperti GPMG. Namun semua ini tidak sedikitpun menerbitkan rasa kesal di hati mereka yang menyertai pergerakan bersenjata ini kerana bagi mereka yang penting adalah perjuangan.

“Hari ini kita akan belajar menggunakan senjata. Perkara asas yang amat penting untuk kamu gunakan senjata ini adalah kekuatan fizikal. Jadi itulah gunanya kita menjalani latihan-latihan fizikal selama ini. Satu lagi, cara kamu memegang senjata pun kena betul. Ini kerana tembakan yang dilepaskan pada suatu senjata akan menghasilkan satu momentum yang kuat.” Bagaikan seorang staf sarjan platun Razlan menunjukkan kepada mereka cara memegang senjata dengan betul. “Belakang senjata ni kamu kena letakkan dengan kemas di bahu kamu. Kalau tidak kemas silap-silap lengan atau tulang bahu kamu boleh patah.”

“Tapi encik, saya tengok Rambo tu rilek saja pegang machinegun sebelah tangan.”

“Memanglah. Kamu tengoklah pula macam mana badan dia. Ini kamu semua baru push up dua puluh kali sudah macam nak pengsan.”

“Sekarang kita akan mulakan latihan menembak. Kita akan mulakan dengan senjata yang ringan dahulu, Colt M16. ambil senjata kamu masing-masing.”

Suasana hutan hari itu seperti di Kelab Menembak Kajang. Das demi das tembakan di lepaskan oleh anggota Force 1424 ke arah batang kayu yang dijadikan sebagai alat sasaran.





Hari berganti hari, waktu berganti waktu. Sedar tidak sedar sudah enam bulan mereka bermastautin di hutan belantara yang jauh dari kemeriahan kota. Dalam jangka waktu ini mereka sudah agak cekap dalam menggunakan pelbagai jenis senjata untuk pertempuran. Selama mereka berada di sini rutin harian mereka dapat dijalankan dengan lancar tanpa apa-apa gangguan sehinggalah pada suatu hari mereka menerima berita yang mengejutkan dari unit perisikan yang dilantik di kalangan mereka.

“Encik saya dapat maklumat bahawa pasukan keselamatan berada tidak jauh dari kawasan kita. Cuma saya tidak pasti adakah tujuan mereka untuk memburu kita atau sekadar latihan.”

“Kamu pasti perkara ni.” Razlan ingin mendapat kepastian.

“Saya pasti encik, mengikut tinjauan saya lagi kekuatan mereka lebih kurang 50 anggota.”

Razlan terdiam seketika memikirkan sesuatu. “baiklah. Dengar sini sahabat-sahabat semua. Kita mendapat maklumat bahawa pasukan keselamatan telah berada tidak jauh dari kawasan kita. Jadi saya mahu kamu semua bersedia di kubu masing-masing. Janganlah ada di antara kamu yang gentar menghadapi mereka semua kerana kita berkeyakinan bahawa kita memperjuangkan kebenaran. Ingat! Lakukan tembakan apabila keadaan memerlukan sahaja. Biarlah mereka yang memulakan dahulu.”

Di kala ini anggota Force 1424 berada dalam kesiapsiagaan yang tinggi sekali. Di tangan masing-masing tergenggam kemas selaras senjata yang akan memuntahkan peluru pada bila-bila masa sahaja. Kini anggota keselamatan sudah berada hampir pada kedudukan mereka. Tanpa didahului dengan amaran beberapa tembakan telah dilepaskan oleh anggota keselamatan. Bermulalah siri berbalas tembakan antara Force 1424 dan anggota keselamatan dari Pasukan Rejimen Renjer. Alunan irama pertempuran yang rancak itu dapat didengar dari jarak beberapa kilometer dari kawasan pertempuran. Suasana hutan tempat mereka berkubu pada hari itu seolah-olah dilanda hujan ribut. Beratus-ratus butir peluru telah menghujani kedudukan kedua-dua belah pihak yang bertempur. Dedaunan pepohon belantara gugur dihembus ribut peluru. Dalam kerancakkan irama petempuran tersebut sayup kedengaran laungan takbir dari anggota Force 1424 sebagai menaikkan semangat juang mereka. Semakin lama pasukan keselamatan semakin mara menghampiri mereka. Razlan yang melihat suasana genting ini perlu memikirkan keselamatan anggota-anggotanya. Akhirnya dia membuat arahan agar anggotanya berundur.

“Ajis. Izwan. Osman. Arahkan anggota yang lain berundur secara berperingkat. kita akan cover mereka semua. Kamu Ajis baling bom asap disekeliling cepat.”

“Kawan-kawan semua! Berundur! Berundur!”

Sementara itu asap telah memenuhi persekitaran mengehadkan penglihatan pasukan keselamatan dan di kala itulah anggota Force 1424 yang lain berundur sementara Razlan dua lagi anggota bersamanya terus melepaskan tembakan GPMG secara berterusan untuk menghalang kemaraan pasukan keselamatan. Setelah semua anggota yang lain berundur tiba pula giliran mereka untuk mengorak langkah undur ke belakang.

“Lari Ajis! Lari!” arah Razlan kepada Aziz yang masih memuntahkan senjata GPMGnya ke arah pasukan keselamatan.

Anggota-anggota Force 1424 sudah pun berada jauh dari lokasi pertempuran. Kelihatan bunyi tembakan masih lagi sayup kedengaran sedangkan kesemua anggota Force 1424 telah berundur. Ini menimbulkan persoalan dalam diri mereka. Namun itu tidak penting bagi mereka. Yang penting bagi mereka sekarang ini adalah mencari satu lokasi yang lebih selamat untuk kesinambungan perjuangan mereka. Satu lokasi yang jauh dan sukar untuk dihidu oleh pasukan keselamatan.





Sudah hampir tiga tahun anggota Force 1424 berkubu di dalam hutan. Selama tiga tahun itu mereka sudah benar-benar terlatih dengan ilmu pertempuran bersenjata dan tanpa senjata. Keadaan hutan yang penuh mencabar telah menjadikan anggota Force 1424 ini sebuah angkatan bersenjata yang tahan lasak. Setelah sekian lama mengharungi latihan-latihan perperangan di dalam hutan, akhirnya tibalah masa yang ditunggu-tunggu oleh mereka iaitu untuk melakukan apa yang dikatakan revolusi bersenjata, menumbangkan kerajaan yang zalim secara militan untuk mengembalikan keadilan dan kebenaran.

“Malam ini adalah malam terakhir kita berada di dalam hutan ini. Esok kita akan mulakan revolusi untuk menggulingkan kerajaan. Sebagaimana yang kamu maklum bahawa ini adalah ujian sebenar untuk kita semua dan sudah tentunya rintangan yang besar akan kita lalui. Jadi malam ni kita akan bangun untuk qiamulail dan bermunajat semoga kita dikurniakan keyakinan dan kekuatan dalam perjuangan mendaulatkan islam. Kita akan bertolak ke Kuala Lumpur selepas subuh.”

Pada pagi itu tibalah masanya untuk mereka mengucapkan selamat tinggal kepada hutan belantara yang selama ini telah menjadi tempat tinggal dan kampus pengajian ilmu perperangan mereka. Dengan berbekalkan Segala keperluan pertempuran dan persenjataan, mereka menaiki bas yang telah dirampas oleh Razlan dahulu untuk menuju ke Kuala Lumpur. Sepanjang perjalanan tiada apa yang dibualkan di kalangan mereka. Masing-masing hanya melayan perasaan sendiri. Memikirkan revolusi yang akan mereka laksanakan nanti. Setelah sekian lama, bas yang dinaiki sudah pun masuk ke Negeri Selangor. Selama 3 tahun meninggalkan kota sudah tentulah pelbagai perubahan dan kelainan akan mereka rasai. Namun apa yang menghairankan Razlan dan pengikut-pengikutnya, sepanjang perjalanan mereka tidak nampak barang satu pun pub, disko dan kedai-kedai nombor ekor yang biasanya banyak terdapat di bandar-bandar besar. Lebih menghairankan mereka kelihatan terdapat banyak wanita yang bertudung labuh dan hampir tiada kelihatan wanita yang tidak bertudung litup, apalagi yang memakai pakaian yang menjolok mata.

“Eh, Ajis kita nak ke Kuala Lumpurlah yang kamu bawa kita ke Kelantan ni buat apa?”

“Ini nak ke Kuala Lumpurlah encik. Saya ingat lagi jalan nak ke sini”

“Osman, hari ni hari apa?” tanya Razlan untuk kepastian.

“Hari jumaat encik.”

“Oh, patutlah. Menghormati hari jumaat rupanya.” Kata Razlan sambil tersenyum sinis.

Setelah enam jam menempuh perjalanan dari utara semenanjung akhirnya sampai juga mereka ke kompleks pentadbiran kerajaan yang menempatkan pejabat Perdana Menteri dan jemaah menteri. Tempat pertama yang akan menjadi sasaran mereka untuk melumpuhkan kerajaan yang sedia ada. Dengan dilengkapi senjata submesingan MP5 Paskal anggota Force 1424 mengambil tempat berhampiran bangunan pentadbiran dan menunggu arahan dari Razlan yang bertindak sebagai komander

“Osman, cuba kamu teropong ke atas bukit sana. Saya dengar mereka letak sniper di situ untuk kawal keselamatan bangunan ni. Kalau ada kamu terus tembak.”

Bagaikan seorang kapten kelasi kapal KD Jebat, Osman memfokuskan teropong dari senjata Raifel Snipernya ke arah sebuah bukit yang tidak jauh dari bangunan pentadbiran.

“Tak ada apa-apa pun encik.” Kata Osman sambil mengosok-gosok matanya yang silau.

“Ceh! Selama ni saya kena tipu rupanya.” Kata Razlan sambil mengetap bibir.

“Baiklah, dengan ketiadaan sniper di atas bukit akan bertambah mudahlah kerja kita, insya-Allah. Sekarang kita akan memanjat pagar bangunan ini seorang demi seorang. Kamu Ajis kawal sebelah depan dan kamu Izwan kawal sebelah belakang.yang lain kamu boleh bergerak sekarang.”

Razlan memberi arahan dalam nada suara yang hampir berbisik untuk mengelakkan kehadiran mereka dihidu. Bagaikan penyeludup beras siam membolos sempadan, anggota Force 1424 mula memanjat pagar bangunan seorang demi seorang dan terus meniarap di tepi bangunan agar tidak dilihat oleh sesiapa. Setelah hampir sejam membolosi pagar bangunan pentadbiran, kesemua mereka telah pun berada di tepi bangunan pentadbiran.

“Sekarang, pastikan senjata kamu semua berisi penuh dengan peluru. kita akan menyerbu bangunan ini secara serentak..”

Umpama seekor biawak yang kekenyangan, anggota Force 1424 merangkak perlahan-lahan menuju berhampiran dengan pintu utama bangunan pentadbiran. Tatkala tiba sahaja, bagaikan anggota unit tempur jarak dekat mereka beramai-ramai meluru masuk ke dalam bangunan dan mengacukan senjata ke arah pekerja pejabat pentadbiran. Kehadiran mereka yang lengkap dengan senjata telah membuatkan pekerja-perkerja yang tekun dengan kerja masing-masing terkejut. Ketakutan jelas terpancar di wajah para pekerja yang tidak mengerti tujuan kumpulan bersenjata ini menyerbu bangunan tempat mereka bekerja. Namun di sebalik itu terpancar pula rasa kehairanan di wajah kesemua anggota Force 1424 apabila mereka mendapati pekerja-pekerja wanita di pejabat kerajaan itu kebanyakannya bertudung labuh dan yang lelakinya berkopiah putih. Namun itu tidaklah merunsingkan mereka apabila teringatkan bahawa hari itu adalah hari jumaat. Yang lebih menghairankan mereka, di sekitar pejabat kerajaan tergantung kemas gambar seorang insan yang mereka benar-benar kenal dan sanjungi. Pernah merengkok dalam penjara atas sebab kezaliman kerajaan yang memerintah iaitu Ustaz Aiman Nasuha, pemimpin parti pembangkang yang digeruni oleh parti pemerintah.

“Ajis, ini pejabat kerajaan ke pejabat Parti pembangkang?”

“Entahlah encik, saya pun tengah pening ni.” Jawab Aziz sambil menggaru-garu tengkuknya.

Razlan menghampiri seorang kerani yang bekerja di pejabat tersebut. Melihatkan Razlan yang bersenjata menghampirinya, kerani itu terketar-ketar, dalam fikirannya terbayang segala kemungkinan yang buruk.

“Boleh saya tahu ini pejabat apa?” Tanya Razlan umpama seorang bos yang bertanyakan hasil kerja pekerja bawahannya.

“Ini pejabat Perdana Menteri encik.” Jawab kerani tersebut dengan nada yang tersekat-sekat, seolah-olah sedang menjawab soalan dari bakal bapa mertua.

Razlan terdiam seketika memikirkan sesuatu sambil bebola matanya tertumpu pada gambar pemimpin parti pembangkang yang tergantung di pejabat tersebut. Kelihatan kerani tersebut menanti soalan seterusnya dari Razlan dengan penuh debaran bagaikan seorang penuntut ijazah sarjana dalam sesi viva tesis.

“Kamu semua ni tidak takut ke, dikenakan tindakan tatatertib perintah am dan akujanji kerana menyokong Ustaz Aiman Nasuha?”

“kenapa kami mesti takut encik, beliaukan Perdana Menteri kami.”

“Perdana Menteri!!!” yang diungkapkan serentak oleh semua anggota Force 1424.

Sementara di luar kedengaran bunyi dari hailer “Dengar sini semua. kamu semua sudah dikepong. Dalam masa lima minit kamu diminta meletakkan senjata! Hentikan perjuangan kamu yang sia-sia ini!”

Rupa-rupanya sepanjang mereka berkubu di hutan, parti pembangkang telah pun berjaya memenangi dua pertiga dari kerusi parlimen dalam pilihanraya umum yang diadakan baru-baru ini sekaligus berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional. Namun ini tidak sedikit pun menerbitkan perasaan kecewa di hati Razlan dan rakan-rakan seperjuangannya kerana bagi mereka matlamat dan cita-cita utama mereka telah tercapai meskipun bukan melalui revolusi bersenjata. Pada hari yang bersejarah itu anggota Force 1424 telah meletakkan senjata sebagai tanda bubarnya Force 1424. Tiada lagi ISA. Tiada lagi OSA dan tiada lagi AUKU. Yang ada hanyalah Hudud, Qisas, Takzir dan Diat. Undang-undang yang paling adil diturunkan Mahapencipta untuk umat manusia sarwajagat.

Perjalanan terakhir seorang mujahid

Assalamualaikum.

Sajak ini juga di buat untuk assignment subjek penglahiran bakat dan karya kreatif. Ianya juga sebagai mengenang pemergian al marhum ustaz Fadhil Noor, bekas Presiden Pas. Semoga arwah ditempatkan bersama-sama dengan para syuhada dan tabi'in

*********************************************************************************

Di suatu pagi yang damai,
Perginya seorang mujahid,
Untuk selama-lamanya,
Mengadap yang maha pencipta.

Hayatmu telah kauwakafkan,
Dalam mencari sisa-sisa kebenaran,
Walau setinggi mana hempasan ombak,
Namun tetap kau gagahi.

Kehilanganmu umpama,
Hilangnya mentari yang menyinar,
Namun sinarnya masih bergemerlapan,
Menyuluh di serata jagat raya.

Walau begitu tidak kami biarkan,
Bahtera hanyut tanpa bernakhoda,
Akan kami terus menongkah ombak,
Hingga berlalu badai kezaliman,
Hingga kembali bayu kebenaran.

Lamaran dari Palestin

Assalamualaikum.

Ini adalah cerpen yang saya buat untuk assignment subjek penglahiran bakat dan karya kreatif masa di universiti dulu. Apa yang saya nak bagitau cerita ini tiada kena mengena pun dengan kisah hidup saya yang sebenar. siti hawa? nama ni saya ambil sempena nama seorang srikandi chechnya yang pertama yang meletupkan dirinya di pos kawalan tentera rusia. Semoga kisah ini memberi kita semangat untuk terus berjuang dalam ruang lingkup yang tersedia dihadapan kita insya-Allah


*********************************************************************************



Dalam kedinginan air cond di bilik kuliah ini, tiba-tiba bebola mataku tertarik kepada seorang gadis yang bertudung litup, berpakaian jubah, dan berwajah kearaban. Hatiku tertanya-tanya, “dari mana pulak minah arab ni?”. Aku perhatikan gadis arab yang duduk di sudut dewan kuliah itu hanya keseorangan dan membaca sambil menunggu pensyarah masuk. Sedang aku memasang langkah untuk mendekati gadis itu dan berbual-bual dengannya, tiba-tiba pensyarah sudah ada di depan.
Pada kuliah itu pensyarah sejarah pemikiran ekonomi, Professor Ikhwan telah membahagikan kami kepada beberapa kumpulan untuk diberikan tugasan dalam kumpulan. Alangkah gembiranya hatiku apabila mendapat tahu bahawa gadis arab itu satu kumpulan denganku. Selepas kuliah kumpulan kami mengadakan sedikit perjumpaan. Pada masa itu aku berkesempatan mengenali gadis arab itu dengan lebih dekat lagi.

“Assalamualaikum”, sapaku.
“waalaikumsalam warahmatullah”, jawab gadis arab itu sambil tersenyum manis.
“Kamu boleh cakap melayu tak?”, tanyaku dalam nada yang kurang yakin.
“Saya sudah lima tahun di sini dan boleh berbahasa Melayu”, jawab gadis dengan Bahasa Melayu yang lancar. Kagum sungguh aku dengan kebolehan berbahasa Melayu gadis arab ini.
“Oh ya, nama saya Afanizam”.
“Nama saya Siti Hawa dari palestin”.
Rupa-rupanya gadis arab ini berasal dari palestin. Sebuah negara yang menjadi perhatianku
kerana kerakusan penceroboh dari bangsa yahudi. ini buatkan aku ingin bertanya lagi.
“Kat sana tiada universiti ke?”.
“Ada, tapi sudah musnah oleh keganasan Israel”, jawab Siti Hawa dalam nada yang sedih.
“Negara kamu sekarang tengah bergolak, apa peluang perkerjaan kamu di sana selepas habis
belajar ?”
“Memang kami tidak ada peluang tetapi sekurang-kurangnya kami telah melaksanakan tuntutan
islam supaya mencari ilmu, kan menuntut ilmu tu satu ibadah, betul tak?”.
“Betul. Betul”. jawabku sambil tersenyum.
“Sebenarnya saya sungguh simpati dengan nasib saudara-saudara kita di sana, dan saya
menyokong apa jua gerakan untuk membebaskan bumi Palestin dari pencerobohan Israel”.
“Terima kasih, saya begitu hargai sokongan kamu dan masyarakat disini. Sebenarnya kami
bukanlah pengganas seperti yang didakwa, malahan kami dahulu yang telah diganasi oleh
israel”.
“Keluarga kamu macam mana?”, tanyaku lagi.
“Kedua-dua ibu bapa saya telah terkorban dalam satu serangan tentera Israel”.
“Oh, saya minta maaflah. Semoga kamu bersabar”.
“Tak apa, saya redha dengan apa yang terjadi, eh sabtu depan kampus ada majlis keamanan
sejagat untuk palestin, kamu datanglah sebagai tanda sokongan kepada perjuangan kami”.
“Insya-Allah”, jawabku.
“Oklah, saya minta diri dulu kerana ada kelas”, pinta Siti Hawa.
“Oklah jumpa lagi, jaga diri baik-baik”.
“Terima kasih”, balas Siti Hawa sambil mempamerkan senyuman yang manis.
Sejak pertemuan itu aku amat tertarik dengan perwatakan Siti Hawa, aku lihat dia seorang yang gadis yang lemah lembut tetapi cekal dan mempunyai semangat perjuangan yang tinggi.

Pada majlis keamanan sejagat untuk Palestin kelihatan begitu ramai sekali mahasiswa yang datang, menunjukkan bahawa perjuangan rakyat Palestin mendapat perhatian dari mahasiswa pelbagai lapisan agama dan kaum. Dalam lautan mahasiswa itu, bebola mataku mencari-cari seorang yang bernama Siti Hawa, namun dalam lautan manusia begini memang susah untuk mencari seseorang. Tepat pukul 9.00 malam majlis pun bermula. Ketika itu aku dapat rasakan kedinginan ‘air cond’ dewan besar ini telah dihangatkan dengan ucapan-ucapan berapi yang penuh semangat dari dua orang panelis yang mengecam keganasan Israel terhadap penduduk Palestin. Dalam fikiranku, kalaulah kabinet Ariel Sharon bapak pengganas tu tahu tentang majlis ni, sudah tentu F/A18 Hornet dihantar untuk membedil dewan besar ini. Bila tiba panelis ke-3 aku agak terkejut. Rupa-rupanya Siti Hawa adalah salah seorang panelis yang mewakili rakyat palestin dalam majlis itu. Aku lihat gadis palestin ini berucap dengan begitu bersemangat dan telah memukau ribuan mahasiswa dalam dewan besar ini. Segala pengalaman di bumi Palestin diceritakan dengan begitu menyayat sekali sehinggakan ada mahasiswi yang menangis. Dan itulah kali pertama aku melihat air mata Siti Hawa. Air mata jernih yang memancarkan seribu penderitaan umat islam Palestin.

Pagi jumaat ini aku hanya ada satu kuliah sahaja. Habis sahaja kuliah aku terus keluar untuk bersarapan. Dalam perjalananku ke Restoran Maulana untuk bersarapan tiba-tiba ada satu suara memberi salam.

“Assalamualaikum”
“Waalaikumsalam. Eh ustaz, minum ustaz”
“Ana baru minum tadi. Ni ana dapat maklumat ada kenduri lepas jumaat ni kat Masjid Ar
Rahman”.
“Kenduri? kenduri apa tu ustaz?”.
“Untuk membantah keganasan Rejim Israel. kalau tak ada apa anta datang la”.
“Insya-Allah ustaz”.

dengan membawa kain serban aku menuju ke Masjid Ar Rahman untuk bersolat jumaat di sana. Tengah hari itu kelihatan jemaah begitu ramai sekali yang terdiri daripada mahasiswa di sekitar Lembah Klang sehingga ada yang terpaksa membuat saf jemaah di luar. Sebaik sahaja solat selesai para pimpinan mahasiswa memberikan ucapan yang berapi-api membidas kekejaman Israel yang disambut dengan laungan takbir dan kecaman terhadap Rejim Zionis. kami bersiap untuk berarak dari masjid secara aman dengan membawa pelbagai kain rentang. antaranya tertulis, “Hidup islam hancur Israel!”. akupun mula menutup mukaku dengan kain serban seperti pejuang Hamas dan memakai ‘winbreaker’ untuk menghadapi kemungkinan ditimpa ‘hujan asid’. belumpun kami melangkah, telah kedengaran bunyi dari hailer.

“Dalam masa 5 minit kamu semua diminta bersurai!”
“perhimpunan ini adalah tidak sah mengikut akta polis”
“Sila beri kerjasama. Sila beri kerjasama”
“saya ulangi bersurai sebelum pihak kami mengambil tindakan”.

di depan kami FRU telah bersiap sedia dengan belantan dan perisai. Yang amat menggerunkan sekali, sebuah lori water canon dengan muncung meriamnya dihalakan ke arah kami bersedia untuk menurunkan ‘hujan asid’ pada bila-bila masa. dalam keadaan yang agak gawat ini, pimpinan mahasiswa meminta kami semua bertenang sementara mereka berbincang dengan pegawai polis untuk mendapat kebenaran berhimpun. Selepas beberapa minit berbincang kami tetap tidak dibenarkan untuk meneruskan perhimpunan dan nampaknya kami terpaksa mengakhiri perhimpunan dengan bacaan doa untuk kesejahteraan umat islam di seluruh dunia. Tetapi belum sempat bacaan doa dihabiskan kedengaran bunyi loceng diikuti semburan air dari lori water canon. Keadaan menjadi semakin gawat. Ada yang cabut lari menyelamatkan diri dan ada yang bertahan situ. Laungan takbir bergema dalam suasana yang gawat itu

“Allahu akbar!”
“Allahu akbar!”
“Allahu akbar!”

Barisan FRU mula mengejar dan membelasah sesiapa sahaja yang ada di depan mata mereka. Sekalipun orang itu tidak tahu-menahu tentang demonstrasi itu. Mataku begitu pedih kerana ditimpa oleh ‘hujan asid’. Dalam kesamaran, mataku terpandang seorang muslimat yang telah diperlakukan dengan begitu kasar oleh anggota FRU hingga tudungnya hampir tertanggal. Aku begitu marah dan dengan nekad terus menghayunkan topi keledar ke arah anggota FRU tersebut sehingga anggota FRU tersebut tersungkur. Aku membawa muslimat itu lari ke tempat yang selamat. Bila keadaan reda baru aku perasan, rupa-rupanya muslimat yang aku selamatkan itu adalah Siti Hawa.

“Eh, kamu ke Siti Hawa?”, aku bersuara dengan termengah-mengah.
“Masya-Allah, kamu rupanya yang selamatkan saya”, Siti Hawa juga terkejut.
Tiba-tiba aku lihat Siti Hawa menangis lalu aku bertanya.
“Kenapa kamu menangis?”.
“Saya menangis bukan kerana sakit dikasari oleh mereka, tapi saya sungguh sedih kerana sebuah
negara yang didakwa sebagai negara islam sanggup mengasari orang yang berhimpun untuk
membantah kekejaman Rejim Zionis”.

terkedu bila aku dengar kekesalan yang diluahkan oleh Siti Hawa itu. Itu belum lagi aku ceritakan tentang pasukan kriket Israel yang ditatang, rakyat yang membantah pula diterajang pada tahun 1995.

Persahabatan aku dengan Siti Hawa telah hampir 2 tahun dan ini adalah hari terakhir aku dapat bertemu dengannya. Hari ini aku bertekad untuk meluahkan isi hatiku kepada Siti Hawa yang telahku pendamkan selama hampir dua tahun.
“Apa rancangan kamu selepas ini?”.
“Insya-Allah selepas ini saya akan balik ke negara saya, Saya telah dilamar di sana dan saya telah menerima lamaran itu”.

Aku hanya tersenyum mendengar katanya itu tetapi dalam hatiku amat kecewa kerana gadis Palestin ini telah dilamar orang. Sayang sedalam-dalam sayang, bunga yang ku puja akan sunting orang. Namun begitu aku redhakan hati ini dan berdoa semoga dia bahagia. Pada keesokan harinya aku mengiringinya ke lapangan terbang.

“selamat tinggal wahai sahabatku, hulurkanlah doa untuk perjuangan kami di sana, saya akan tetap merindui kamu”.

Itulah kata-kata terakhir yang keluar dalam mulut Siti Hawa sebelum dia berlepas. Hari itu juga ku lihat lambaian terakhir darinya dengan wajahnya yang begitu berseri-seri dan bercahaya sekali. mungkin itulah gambaran kegembiraannya yang akan pulang ketanah airnya dan akan berumah tangga dengan pemuda yang dikasihinya.

Sudah sebulan berlalu, aku menjadi pegawai tadbir di sebuah jabatan kerajaan. Namun begitu aku tetap merindui Siti Hawa. Semasa perkenalan dengannya dahulu dia ada memberi nombor telefon bimbitnya kepadaku tetapi aku rasa tidak manis kalau aku ganggu gadis yang akan menjadi isteri orang. hari ini cuti hujung minggu, namun aku tetap bangun awal pagi. Mungkin kerana kebiasaan aku sejak menuntut di universiti lagi. Pagi itu aku tidak bercadang untuk kemana-mana, aku hanya berehat di rumah sahaja. Selepas sarapan aku membaca surat khabar. Aku terus membuka halaman berita antarabangsa kerana bagiku berita-berita dalam negeri adalah tidak adil dan tidak beretika. Tiba-tiba jantungku seperti hendak gugur apabila terbaca satu tajuk berita yang berbunyi, “Seorang lagi serikandi Palestin yang bernama Siti Hawa telah melakukan operasi syahid di pos kawalan tentera Israel dengan meletupkan diri sendiri”. Aku seperti tidak percaya dengan apa yang aku baca. Rupa-rupanya maksud lamaran oleh Siti Hawa dulu adalah lamaran untuk berjihad dan mencapai syahid. Dalam masa yang sama isyarat SMS dari telefon bimbitku berbunyi. Bila aku buka, rupa-rupanya ianya adalah SMS dari Siti Hawa yang tertulis, “sebenarnya saya juga mencintai kamu, tetapi saya lebih mencintai Allah dan rasulNya”. Dengan tak semena-mena air mataku mengalir. Aku yang selama ini tidak pernah menangis kerana mempertahankan keegoanku kini menangis tanpa mempedulikan alam sekeliling ku. Selepas solat aku menyedekahkan bacaan Surah Yassin kepada arwah dan berdoa semoga arwah diberikan syahid yang tertinggi oleh Allah.

Hunusan lidah

Hulurkan aku sekeping lidah,
Akanku hunus segala maha kezaliman,
Biar jasadku terpenjara,
Namun jiwaku tetap merdeka.

Hulurkan aku sekeping lidah,
Akanku panjatkan doa kepada yang Esa,
Biar dihancurkan maha kezaliman,
Moga dinobatkan keadilan.

Dan sesungguhnya,
Hunusan lidah itu lebih berbisa,
Dari hunusan keris sang pendekar.

Kerana dengannya,
Akan terungkailah kecurangan sang penguasa,
Dan akan bersemaraklah kebangkitan rakyat.